Sabda Nabi saw: “ Penyesalan itu adalah taubat”. (Riwayat Al Hakim dan Ibnu Majah - sanad sahih)Kenapa kita perlu sangat mewar-warkan soal penyesalan ini? Jawapannya kerana ia memang sangat perlu.
a. Ia menjadi modal utama bagi setiap hamba untuk melengkapkan kesempurnaan sesebuah taubat yang akan dipersembahkan kepada Allah Tabaraka wa Ta’ala.
Imam Al Qusyairi rahimahullahu Ta’ala menukilkan dari sebahagian ulama satu kenyataan yang berbunyi: “penyesalan sudah memadai untuk terlaksananya taubat”. Apa tidaknya. Dari penyesalan yang bersungguh-sungguhlah nanti akan menumbuhkan buah ‘keazaman’ dan ‘peninggalan’, iaitu dua rukun lain yang bakal menyusul sesudahnya.
Amat mustahil sekali sekiranya seseorang yang sudah ‘benar-benar menyesal’, berazam tetap mahu melakukan semula perkara yang sudah disesalinya itu.
b. Penyesalan adalah perasaan atau pun emosi batiniah (rohaniah) seseorang yang menggambarkan kekecewaan lantaran keterlanjurannya melakukan dosa sama ada terhadap Allah(Penciptanya), atau makhluk-Nya atau pun terhadap dirinya sendiri.
Baca dan renungilah perjalanan taubat orang-orang yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt. Apa yang mereka ungkapkan. “Kekecewaan itu adalah umpama api yang membakar hati. Hati akan rasa tersalai setiap kali mengenangkan dosa dan keterlanjuran diri serta balasan Allah yang bakal menanti”.
Kisah taubat tiga sahabat Nabi saw yang diabadikan dalam Al Quran cukup mengharu dan meruntun hati kita. Pemaparan yang sungguh indah lagi menarik.
Itulah kisah tiga sahabat yang tidak ikut serta bersama Nabi saw dalam perperangan Tabuk (pertemuan pertama Rasulullah saw dengan kuasa besar ketika itu iaitu Rom). Ketiga-tiga sahabat ini tidak datang menemui Rasulullah saw untuk menyatakan keuzuran ‘palsu’ seperti yang dilakukan sebahagian para munafiqin. Lalu rasulullah saw memerintahkan supaya mereka dipulaukan hingga datang keputusan dari Allah swt. Penyesalan dan kekecewaan mereka akhirnya mencapai tahap yang amat tinggi.
Al Quran menggambar kesengsaraan jiwa mereka itu seperti berikut: “Dan, terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pula (terasa) sangat sempit serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lain dari (seksaan) Allah, melainkan kepadaNya, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (At Taubah ayat 118).
Ahli sufi terkenal, Zunnun Al Misri berkata: “Hakikat taubat ialah kamu merasakan bumi yang luas ini menjadi sempit sehinggakan kamu terasa tidak dapat berdiri”.
Begitulah gambaran penyesalan yang sepatutnya berlaku di dalam taubat kita. Barulah dosa kita benar-benar akan terampun di sisi Allah swt. Sesal dulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.
Koleksi ANIS/ Olej Rozana Hamim