RSS

Thursday, 15 May 2008

ENAM dekad KITA

6 Dekad Nakbah Kita
oleh : Dr Zainur Rashid Zainu
ddin, Perunding Aman Palestin

(Sempena 60 tahun Nakbah (malapetaka) pembentukan Negara Haram Israel sejak 15hb Mei 1948)

Istilah Nakbah mungkin adalah satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.

NAKBAH bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam buat penduduk asal bumi Palestin, orang-orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.




Enam Dekad Nakbah

Kini 60 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan Negara Palestin terus diganyang Yahudi Zionis sehinggakan :

1. Rejim Zionis terus yang melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini yahudi telahpun merampas dan menguasai kira-kira 90 % dari keseluruhan bumi Palestin.

2. Peningkatan serangan ke atas Masjid Al Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian qiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka MengYahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al Aqsa dan mendirikan Kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang.

3. Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Di kalangan mereka adalah orang-orang tua, kanak-kanak malahan juga wanita yang hamil lagi sakit.

4. Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.

5. Ramai di kalangan kanak-kanak palestin yang telah dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil.

6. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.

Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini.

7. Dijangkakan seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 60 tahun yang lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai di dalam sejarah peradaban dunia.

8. Rejim Zionis kini berterusan menyiksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui pemimpin kanan mereka sebagai holocaust yang lebih hebat.

Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja.





Di Malaysia

Kefahaman mengenai isu ini masih perlu diperluaskan lagi di kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai melalui penulisan di akhbar-akhbar dan majalah, ceramah-ceramah dan pameran-pameran serta media elektronik. Sumbangan kemanusiaan pula mesti dipergiatkan bagi membantu rakyat Palestin yang telah sekian lama tertindas. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Malaysia seharusnya menjuarai isu sejagat ini, bukan sahaja di kalangan kita bahkan di persada antarabangsa.

Persoalannya, adakah kita telah berbuat sesuatu bagi meringankan beban dan kesangsaraan yang mereka alami selama ini?


Allaahumma ya Aziz ya Muntaqim!, satukanlah hati-hati umat Islam dengan ikatan yang satu, demi mempertahankan tanah suci Baitulmaqdis. Berikanlah kepada kami kemenangan yang hakiki dan seterusnya memperoleh kejayaan abadi di akhirat nanti. Lembutkanlah hati-hati kami untuk sentiasa menghulurkan pertolongan dan bantuan kepada saudara kami di Palestin dan jadikanlah kehidupan kami sebagai secebis perjuangan untuk membebaskan bumi yang tercinta Palestin.


***untuk maklumat lanjut bolehlah melayari www.iluvislam.com







 
Copyright SMSA Women 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .