RSS

Friday 25 April 2008

::SUKMA::

OLEH FAISAL TEHRANI

(Tersiar di Dewan Sastera Mac 2006)

SEPERTI biasa, seperti pagi-pagi terdahulu, sebelum berangkat ke Eminonu, saya akan singgah mencicip teh hangat dan mencebis simit di kafe tersebut dahulu. Kafe kecil tersebut terletak di Kadikoy, benar-benar menghadap stesen bas yang sibuk, di sebelah kedai pengurup wang, betul-betul di hadapan laluan masuk menuju ke sebuah hamam dan butik jeans Mavi.
Musim gugur telah bertukar menjadi musim dingin. Saya harus membalut tubuh tiga atau empat lapis baju, mengenakan sarung tangan dan balaclava, supaya telinga tidak akan menjadi kebas perit. Salji belum turun lagi dan saya tertunggu-tunggu musim dingin ketiga di Istanbul. Beberapa hari sebelumnya, di Kocaeli memang ada gerimis salji tak menjadi, turun erang erot kecil-kecil mendarat longlai ke bumi dibawa kelembubu.
Kafe kecil tersebut selalu taru disesaki manusia, sentiasa disendati pengunjung hingga jarang-jarang sekali akan ada kerusi atau meja kosong. Kafe Simit Saray tetap memanggil-manggil pelanggan yang melintas untuk singgah sebentar.
Pagi tersebut, seperti pagi-pagi terdahulu, saya mampir sebentar untuk meneguk satu atau mungkin lebih cawan teh, melihat ragam manusia di sekeliling, atau memperdiarkan mereka sahaja, kerana sibuk menulis puisi atau sebarang catatan kembara.
Namun kehadiran landahur itu lain, kehadirannya menandakan kewujudannya. Dia berlesung pipit jika tersenyum dengan mata bulat terbuka serta bibir yang terukir elok membuatkan banyak mata berhenti seketika, paling tidak menjeling kepadanya sebelum meneruskan semula aktiviti masing-masing. Pengunjung kafe semua mengerling bukan kerana pakaiannya mesum atau pipi ramus atau mata rudunya menyimpan makhfi tetapi saya kesani orang memandang belia tersebut dengan tatapan penuh cinta. Seolah-olah dialah insan yang membawa pedoman untuk setiap penghuni kota. Akhlak apakah pakaiannya hingga mempesonakan dan menggamamkan setiap yang menatap?
Oleh kerana tiada lagi tempat duduk, maka dia duduk di hadapan saya selamba tanpa meminta keizinan. Ya, dia tak perlu minta kebenaran pun, kerusi kosong di kafe tersebut bukan milik saya tentunya.
Dia datang menatang seteko penuh teh (sedang pelanggan lain hanya membawa secawan kecil). Sungguh dia pelanggan rasmi di kafe ini tetapi baru pagi ini saya menyedari. Masakan dia dapat keistimewaan untuk minum teh sebanyak itu. Pedulikanlah dia, dia penggemar teh agaknya dan membayar lebih untuk mendapat bekalan tambahan.
Tetapi yang menjadikan kami kawan seterusnya ialah kerana dia menyedari mata saru saya. Dan saya, saat menyeluruhi mukanya mendapati warna matanya taruk bersinar-sinar.
‘Apa sahaja yang merusuhkan kalbumu sahabat?’
Saya pura-pura tidak memahami bahasa Turki, menggeleng-gelengkan tangan tanda malas melayan.
Namun dia sudah tahu pekerti saya selama ini, setiap pagi di Simit Saray, minum teh dua cawan, tenggelam membaca bermacam buku dan sesekali benar membalas pertanyaan pramusaji atau pelanggan lainnya.

Dia mungkin telah lama memerhatikan saya secercah mata.
‘Sayang sekali kau kesunyian.’ Begitu dakwa landahur. ‘Namaku Abdullah…’ Dia menghulur tangan yang membuatkan saya tidak dapat mengelak sama sekali dari berjabat.

Pagi tersebut mulanya persahabatan kami atau seperti yang Abdullah sebutkan, ‘percintaan’ kami tanpa rasa segan malu. Setiap pagi kami bertemu di Simit Saray, bergarah bergurau, bercanda berlucu, berjenaka berlelucon. Kata-katanya menyentak nubari saya, berdetak, dan barangkali inilah mata dan bicara yang bergabung bersama untuk menjangkau jiwa sepi ini dan saya menafsir-nafsir ungkapan lama, ‘Ja’a mina’l qalbi fadakhala’l-qulub (Ia datang dari sukma, masuk menerobos sukma).’
Abdullah pemuda yang tidak terjangkau dek saya menerusi mata ungunya, mata nilam itu yang mengejip tatkala menanti saya tiba dari pangkalan feri Eminonu dan mata itu jugalah yang terkejap kaget mendengar apa yang saya lalui sepanjang kembara sejauh ini dan Abdullah sentiasa memberikan mata yang tidak kaku, ungu, mata yang menatang lembayung pada hari petang dan menampung biru kala setiap kesegaran pagi. Mata yang melembak kasih.
Sungguh, di situlah agaknya keisimewaan landahur tegap tersebut sehingga membuatkan selalu pengunjung di Simit Saray berhenti melakukan apa-apa dan menjeling sesaat sebelum kembali meneruskan perlakuan sebelumnya. Cinta. Dia adalah manusia cinta dengan zikir dan ulang-ulang bicara tentang Cinta. Tasbih tersebut memang selalu berkitar di jarinya.
Abdullah memberitahu saya dalam tutur yang rapi bahawa cinta sahaja akan menyelamatkan manusia dari kepunahan dan perbalahan. ‘Formulanya cinta…’
Saya terkerlip sampul yang sama dihantar Rasulullah S.A.W untuk memanusiakan manusia di zamannya. Bukankah Aus dan Khazraj yang berperang beratus tahun itu disatukan Nabi dengan cinta mulus dan kasih kudus? Bukankah cinta menghapuskan perhambaan dan menjadikan manusia berkulit hitam, kuning langsat dan putih merah dapat memberi salam hormat dan mendoakan keselamatan sesama mereka (meski kadang-kala mereka tak saling mengenal).
Tolong, tolong jangan tafsirkan cinta di sini sesempit yang dipadatkan Barat, terhad pada satu-satu ruang, sehingga cinta yang mulus telah menjadi serong pada waktu tertentu atau cinta itu hanya mengandung makna noda. Mesti berakhir dengan tilam, bantal dan dosa.
‘Bukan begitu sahabat.’ Tutur Abdullah sambil membawa ketawa sopan.
Cinta tak perlu hubungan jasmaniah semata-mata.
Cinta tunjang futuwwah dan ukhuwwah. Cinta adalah bumbu kesatuan akidah, ratna kesepaduan syariah dan manikam akar ihsan.
Kalau tidak kerana cinta Tuhan takkan menghantar kita ke dunia. Kalau tidak kerana cinta Tuhan tak akan menguji menduga manusia hamba-Nya. Kalau tidak kerana cinta Tuhan tidak akan menganugerahkan sawab-Nya.
Cintalah yang membuatkan umat kuat perkasa. Kerana cinta kepada akhlak Rasulullah maka setiap generasi umat Islam kembali melakukan tajdid. Yang dikatakan oleh Allahyarham Dr Martin Ling atau Abu Bakr Siraj-ad Din sebagai tajdid itu satu gerakan untuk mengundur ke belakang (bagi mendapat dan menatap kembali era generasi al-Quran di kala hidupnya Rasulullah) bukan satu gerakan menjauhi cinta yang maju ke hadapan dan meninggalkan segala sunnah dan ajaran baginda.
Pagi itu, pagi musim dingin yang sangat membeku membungkam kata-kata, saya membuat keputusan untuk pulang tiba-tiba, dia membelanja saya secawan teh atau seingat saya dua. Sarapan pagi di Simit Saray sebelum berangkat pulang. Saya dapat melihat dia sebak, matanya ungu bertukar menjadi abu-abu dan dalam sukmanya, bintang suraya mengerdip cinta luluh.
‘Kita akan bertemu lagi pastinya.’ Kata saya perlahan, berharap, berdoa, kata-kata tersebut seakan-akan bertelut di satu simpangan jalan kehidupan yang libat melibat.
Dia sahabat saya, saudara saya, di saat kembara dalam susah penuh bahana, dan kesempitan wang, rezeki saya dihantar Tuhan menerusinya dan mata itu, mata ungu itu sentiasa mengasihi musafir yang lelah.
Saya akan berangkat pergi, entah bila Tuhan izinkan saya ke sini lagi. Bertemu dengannya, bergurau dan ketawa dengannya, ya seraya minum teh, dan kami akan saling berbisik tentang impian melihat khilafah kembali tertegak, cinta kembali mendapat takhtanya dan manusia akan berdamai kerana Tuhan itu satu, Dia Maha Kuasa, Tuhan yang menjadikan manusia atas dasar cinta dan manusia seharusnya, akan kembali kepada-Nya dalam keadaan serupa.
Sebelum dia menghantar saya naik feri membawa langsung ke Eminonu. Dia membuka telapak tangan dan meletakkan sebentuk cincin nilam. ‘Maafkan aku, tak banyak aku dapat berikan untuk kau bawa hatiku pulang ke negerimu.’
Saya senyum pilu. Kami berdakapan. Oh erat dan hangat sekali persaudaraan ini, meski di sekeliling cuaca amat dingin sekali.
Kemudian Abdullah bersuara lagi. ‘Aku pernah terbaca hadis diriwayatkan oleh Abi Dawud yang berbunyi lebih kurang begini: ’Andai seseorang dari kamu mencintai sahabatnya kerana Allah, maka hendaklah kamu memberitahunya.’
Abdullah memandang saya sungguh-sungguh. ‘Demi Allah aku mencintaimu sahabatku.’
Saya menahan sendu, bergerak pergi ke Lapangan Terbang Attaturk. Sungguh kata-kata yang baik, jalinan kisah-kisah yang indah mempesona menusuk sukma.
Dalam pesawat terbang ke Tashkent saya menitip puisi untuk landahur penuh cinta di Simit Saray:

(Kau bacakan aku apa ya,
malam hari aku berdoa untukmu
dalam mimpi aku bermain guli denganmu
dalam pagiku ada kasih kalbumu
dalam senja senyummu ranum
masih
harum
teh dalam cangkir kecil itu
aku tertanya
apa sudah kau bacakan dalam renung matamu?)

Sungguh ja’a mina’l qalbi fadakhala’l-qulub. Datang dari sukma, menyelinap ke dalam sukma.



P/S: Hayati sesuatu yang dinamakan cinta.Cinta itu luas. Cinta itu suci. Jangan engkau hancurkan makna cinta itu. ....:)

 
Copyright SMSA Women 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .