بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah Ramadhan melabuhkan tirainya. Selamat menyambut hari raya aidilfitri. Hari yang dinanti-nanti. Hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya kembali kepada fitrah setelah sebulan mendidik dan melatih rohani dan jasmani agar menjadi orang-orang yang bertakwa.
Sama-sama kita renung detik-detik hari yang berlalu dalam bulan Ramadhan bersama-sama dengan umat Islam yang lain.
Bersyukurlah kiranya kita berjaya mentarbiyah dan mendidik jiwa kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Yang pasti, ekspedisi tadarus Quran, tarawih berjemaah, majlis-majlis ilmu menjadi kenangan terindah dalam bulan Ramadhan ini. Semoga berterusan ketakwaan dan perhambaan kepada Allah SWT.
Beristighfarlah andai ruang masa kita di bulan Ramadhan ini diisi dengan perkara-perkara yang lalai, berbual perkara-perkara yang sia-sia, tidur panjang yang lena di siang hari hanya sekadar menunggu masa untuk berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Astaghfirullahal adzim. Kami memohon keampunan dariMU ya Allah.
Sahabat-sahabat sekalian,
Perjuangan menuntut ilmu di United Kingdom khususnya di Sheffield ini penuh dengan pelbagai cabaran. Sentiasa teringat pemandangan dan suasana tanah air dan senyuman ibunda dan ayahanda, sanak saudara, dan sahabat yang tercinta. Imam Syafie pernah berkata “ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita”. Di sebalik perkara ini, banyakkan bertakbir dan hayati ruh hari raya yang diajar oleh ajaran Islam.
Bulan Syawal juga mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam. Antaranya ialah kemenangan tentera Islam dalam perang Khandak(Ahzab). Peristiwa ini mudah diingati kerana setiap kali tiba hari raya, kita sentiasa laungkan Ahzab (Dan Dialah (Allah) yang memenangkan tentera-Nya serta mengalahkan tentera Ahzab).Perang Ahzab yang bererti tentera bersekutu, juga dikenali dengan nama Perang Khandak (parit) sempena saliran dibina tentera Islam sebagai kubu.
Banyak lagi peristiwa suka duka dalam sejarah Islam. Itulah yang sebenarnya yang menjadi sumber kekuatan kita. Maka, janganlah lemah andai menghadapi ujian hidup sebagai penuntut ilmu. Di luar sana ramai lagi yang menghadapi ujian yang lebih berat sebagai contoh yang terdekat sebagaimana saudara-saudara kita di Palestin. Cukuplah ia sebagai pengajaran kepada kita.
Maka, jadikanlah tarbiyah ramadhan sebagai pemangkin untuk kita mendapatkan kekuatan dan semangat untuk terus berjihad dalam konteks sebagai seorang mahasiswa. Raikan Syawal ini sebagaimana meraikan kemenangan dalam peperangan menentang kekufuran yang baru sahaja tamat. Lebih-lebih lagi kekufuran yang bersarang di lubuk hati kita.
Cukuplah sekadar itu sebagai renungan kepada kita yang bukan untuk termenung tetapi diamalkan. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Ramadhan yang kita tempuhi diterima Allah SWT sebagai bekalan kita di padang Mahsyar kelak. Sambutlah hari raya dengan menepati syariat Islam dengan penuh kebanggaan, keinsafan dan rasa syukur yang infiniti kepada Allah. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua.
Akhir kalam, jangan keterlaluan meratapi pemergian Ramadan hingga mencela kedatangan Syawal dan kegembiraan mensyukurinya. Jumpa lagi Ramadhan di tahun akan datang InsyaAllah.
Salam aidilfitri.
Salam perjuangan.
Wallahu a'lam.
Assalamualaikum wbt.
Muhammad Hilman Norman,
Islamic Affairs Officer
Sheffield Malaysian Student Association 2010/2011