Bulan al-Quran
Selasa, 24 Ogos 2010 12:13 Maznah Daud
Ramadan adalah satu-satunya bulan yang disebut namanya dalam al-Quran. Ia disebut sebagai bulan turunnya al-Quran. Allah tidak menyebutnya bulan puasa, pada hal puasa adalah ibadah utama yang diperintahkan ke atas umat Islam menunaikannya. Allah tidak menyebutnya bulan qiam, pada hal qiam sangat dituntut dalam bulan Ramadan. Tidak juga ia disebut bulan sedekah, pada hal umat digalakkan membanyakkan sedekah pada bulan Ramadan sehingga diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam sangat-sangat pemurah pada bulan Ramadan seumpama angin yang bertiup kencang.
Ramadan dinamakan bulan al-Quran.
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah….”
(Maksud al-Baqarah 2:185)
Apakah peranan al-Quran dalam hidup kita?
Allah azzawajalla yang menurunkan al-Quran menjelaskan beberapa peranannya yang utama. Antaranya:
1. Supaya manusia mentadabbur ayat-ayat dan mengambil peringatan daripadanya.
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
(Maksud Sad 38:29)
2. Cahaya yang menerangi hidup insan di dunia ini.
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) daripada Allah dan sebuah Kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.”
(Maksud al-Maidah 5:15)
3. Petunjuk kepada jalan yang lurus dan selamat.
“Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya dan (dengannya) Tuhan mengeluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Maksud al-Maidah 5:16)
4. Nasihat, rahmat serta penawar bagi semua penyakit.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Maksud Yunus 10:57)
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”
(Maksud al-Isra’ 17:82)
Apabila al-Quran berperanan...
Ketika mana al-Quran dibiarkan berperanan sebagaimana yang ditentukan oleh yang menurunkannya, akan terhasillah natijah yang luar biasa dan mengagumkan. Lihat bagaimana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah berjaya mendidik para sahabat radhiallahu anhum dengan al-Quran. Dalam masa tidak sampai seperempat kurun, lahir satu generasi yang unik yang berjaya merubah dunia ke arah kebaikan, keadilan dan kesejahteraan, pada hal mereka sebelumnya adalah bangsa yang buta huruf dan penggembala kambing di padang pasir yang gersang.
Dalam konteks ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali pernah berkata: “Kita mengetahui bahawa mukjizat Nabi sallallahu alaihi wasallam yang paling besar ialah al-Quran al-Karim. Di samping itu, ahli-ahli sejarah yang mengkaji dengan jujur melihat bahawa mukjizat paling besar selepas al-Quran ialah sekumpulan ‘rijal’ yang dididik oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam dengan sebaik-baiknya. Baginda telah menanamkan dalam hati mereka perasaan yakin dan ikhlas yang menjadikan mereka contoh yang benar-benar hidup dan bergerak. Peribadi mereka adalah gambaran iman yang tertanam dengan kejapnya dalam hati mereka. Mereka rela berjuang dan berkorban sehingga ke penghujung usia.
Sesungguhnya generasi yang telah dididik oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, yang merupakan pendukung kepada ajarannya, yang mengangkat panji-panji risalahnya dan yang setia kepadanya adalah jambatan yang menghubungkan hidayah daripada langit kepada kita. Sesungguhnya mereka adalah rijal yang sangat-sangat istimewa dan luar biasa. Ketika membaca sirah kebanyakan daripada mereka, saya rasa diri ini amat kerdil dan tidak berguna. Saya rasa seolah-olah berada di hadapan puncak gunung emas yang menjulang tinggi ke langit yang tidak mungkin dapat dicapai oleh tangan saya.”
Menurut Imam al-Banna, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berjaya mendidik mereka dengan menanamkan dalam diri mereka tiga perkara: Pertama, yakin bahawa apa yang ada pada mereka adalah satu-satunya yang hak, yang benar, yang baik, yang paling unggul kerana ia bersumberkan wahyu daripada yang Maha Benar. Kedua, oleh kerana mereka berpegang kepada yang benar maka mereka tidak harus berasa hina dan lemah, sebaliknya mereka mesti berasa mulia dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Mereka tidak harus menjadi pengikut dan pak turut, sebaliknya mereka mesti memimpin dan menyampaikan apa yang ada pada mereka kepada orang lain dengan penuh yakin. Dan ketiga, selagi mereka berpegang kepada kebenaran yang diturunkan Allah, maka Allah tidak akan menyia-yiakan mereka. Allah pasti akan menolong dan membantu mereka.
Kini sekali lagi kita berada dalam bulan al-Quran. Di serata pelosok bumi bergema bacaan ayat suci al-Quran siang dan malam. Akan lahirkah nanti generasi al-Quran sebagaimana yang telah dilahirkan oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam selepas Ramadan nanti? Bersama-samalah kita berusaha meningkatkan penghayatan al-Quran dan melaksanakan tuntutannya dalam hidup kita baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Thanks & Regards
azimah