RSS

Sunday 24 May 2009

Kucing dan M.A.T.I

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum..

Seekor Kucing Di Hari Jumaat

Selesai menyalami suami saya mengingatkan pula suami agar tidak lupa memakai bau-bauan sesuai dengan Sunnah saw. Rutin biasa. Ketika menunggu di pintu menunggu sehingga kereta suami meninggalkan halaman rumah, entah bagaimana saya leka sementara. Saya memandang sekeliling dan tiba-tiba ketika pandangan kembali tertumpu ke arah kereta suami, saya tersentak! Kereta suami telah menggeles kucing.

Ya Allah ! Kucing!

Saya melihat kucing digeles kereta suami. Sekali. Menggelepar badannya tetapi masih hidup.

Saya hanya mampu menjerit tanpa suara menuding jari ke arah suami. Dan dengan pusingan streng yang seterusnya kereta suami terus menggeles kucing. Sekali lagi. Saya ketakutan. Kereta suami berlalu, dan nyata beliau tidak perasan.

Saya terus menutup pintu. Gementar dengan tiba-tiba. Tidak sanggup melihat kucing itu mati atau hidup. Saya kemudian melihat sekali lagi melalui tingkap, dan kucing itu telah mati. Kaku. Sendiri. Di tengah jalan. Ya Allah ….

Saya terduduk. Rasa hilang semangat dan ruh rasanya melihat kematian di hadapan mata.



Menangislah

Menangislah jika mengingati mati. Menangislah jika rindu pada Tuhan.

Menangislah jika takut pada Tuhan. Menangislah.

Menangislah bila memikirkan kita rindu untuk bertemu Tuhan namun menangislah seperti para Sahabat r.a dan para tabiien yang sentiasa takut dan merasa paling berdosa di hadapan Allah .

Ibnu al-Jauzi menyebutkan, bahawa Abu Muhammad seorang ahli ibadah, menangis terus pagi dan petang. Maka tetangganya menanyakan penyebab ia menangis jika petang dan pagi.

Isterinya menjawab:-

Dia takut jika petang tidak akan melihat pagi dan jika pagi tidak akan melihat petang.

Manshur Abdul Hakim berkata ketika mengulas kisah ini[1]:-

“Inilah kedudukan orang yang takut kerana Allah dan mengikuti Sunnah Nabi saw yang berwasiat kepada umatnya supaya beramal untuk akhiratnya seakan-akan mati esok. Jika pagi hari, jangan menantikan petang dan jika petang hari jangan nantikan pagi.

Diceritakan pula kisah Abu Hurairah,[2] yang sangat mengasihi kucing. Abu Hurairah salah seorang yang paling banyak mencatat hadis Rasulullah. Rasul saw pernah mendoakannya, ‘Ya Allah, cintailah hambamu ini dan ibunya ke dalam hamba-hambanya yang beriman dan jadikanlah orang-orang beriman mencintainya. (H.R Muslim).

Muslim bin Basyar berkata, Abu Hurairah menangis di hari sakitnya, lalu Muslim bin Basyar bertanya:-

Apa yang menyebabkan engkau menangis?

Dia menjawab:-

Sesungguhnya saya tidak menangisi dunia kalian ini, tetapi saya menangisi perjalanan yang panjang dan sedikitnya bekal pada diri. Saya berada di antara jalan naik dan turun, syurga dan neraka. Saya tidak tahu ke arah mana kaki saya menuju.

Namun antara kisah yang disebut-sebut dikalangan generasi salaf ialah kisah tangisan Khalifah Umar Abdul Aziz. Diriwayatkan oleh penulis kitab Tanbihul Ghafilin dari Umar ibn Abdul Aziz, Khalifah dinasti Umayyah yang halus jiwanya. Suatu ketika, sedang beliau mendirikan solat malam dan membaca firman Allah s.w.t.

“Ketika belenggu dan rantai dipasang di leher mereka, seraya mereka diseret. Ke dalam air yang sangat panas, kemudian mereka di bakar dalam api. (al-Mu’minun 71-72)

Berulangkali Khalifah Umar Abdul Aziz membacanya dan menangis hingga pagi.

Berkata lagi Manshur ketika mentaqliq kisah ini:-

Ini adalah bukti kecintaan Khalifah Umar Abdul Aziz yang mendapat petunjuk. Ia sama seperti datuk dari ibunya iaitu Khalifah Umar Al-Khattab pada perasaan takut pada Allah, azabNya dan nerakaNya. Seolah-olah azab neraka terbayang di hadapan mereka semasa solat,
Ketika belenggu dan rantai dipasang di leher mereka, seraya mereka diseret..Terbayang pemandangan yang mengerikan ini, lalu terbayang pula selepas itu kehinaan yang besar..mereka diseret ke dalam air yang sangat panas..

Sesungguhnya terlalu banyak kisah dan sirah Salafunasoleh yang menggambarkan perihal mereka yang menangis kerana cinta dan takutkan Allah sekalipun di kalangan sahabah yang dijanjikan syurga. Sa’id bin Musayyib dengan tidak dapat tidur kerana mengingati mati. Saidina Umar Al-Khattab yang senantiasa merasakan beliaulah hamba yang paling berdosa serta ramai lagi para Sahabat, Tabi’ dan Tabi Li Tabieen RadiyAllahu’anhum yang sungguh tidak pernah meninggalkan tangisan sekalipun mereka merupakan sebaik-baik generasi.

Menangislah. Jika tidak dapat menangis, maka berusahalah untuk berpura-pura menangis. Yang demikian disaran oleh Baginda saw sendiri.

Wahai diriku dan saudara-saudaraku sekalian maka berpeganglah pada Hadis Nabi saw yang menceritakan di antara tujuh yang mendapatkan naunganNya pada hari Kiamat, adalah mata yang menangis, sebagaimana yang ditegaskan dalam sabdaNya:-

Dan lelaki yang mengingat Allah sendirian, lalu airmatanya bercucuran. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selamat menangis kerana Allah, wahai diri. Kita harus benar menangis untuk dosa yang melimpahi urat nadi dan kedudukan diri yang berada di akhir zaman saat dikeraskan hati mengenal Allah kerana bersenang dengan dunia melainkan jika dilenturkan dengan cinta dan takut pada Allah.


p/s : rindu..sungguh..



 
Copyright SMSA Women 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .