RSS

Wednesday, 4 February 2009

Hidup Bermasyarakat

Dalam hidup bermasyarakat, seringkali kita tidak lekang dengan ungkapan privacy, kehidupan sendiri dan macam-macam lagi. Kita tidak suka jika perihal kita dan tata cara hidup kita diganggu gugat oleh orang lain. Bahkan dengan yang demikian timbullah peribahasa “jangan ganggu tepi kain orang”.

Tetapi sedarkah kita, bahawa dalam hidup bermasyarakat, kita bukanlah hidup berseorangan. Kita adalah ibarat sebuah kapal yang diketuai oleh ulil amri (pemimpin-pemimpin) yang terpercaya. Kapal dan bahtera masyarakat ini lah yang membawa kita sama ada ke arah kejayaan yang gemilang atau pun kehancuran.

Sungguhpun manusia ini hidup diatas daratan, tetapi selayaknya hidup kita adalah lautan yang penuh gelora dan tidak selalunya tenang. Maka Allah dan Rasul telah menetapkan aturan hidup yang cantik, indah dan sempurna sebagai jalan hidup.

Contohnya, ada segolongan lelaki cuba melubangkan lantai bahtera itu dan anda berdiri disitu, sedang suasana luar kapal itu penuh gelora dan lambungan ombak. Adakah anda akan berdiam diri? Adakah anda akan duduk disitu sahaja dan anda akan berkata, “Ini bukan hal aku. Aku tak buat apa pun. Biarlah diorang”.

Adakah anda akan berdiam diri kerana anda tahu yang jika kapal itu dilubangkan, maka anda akan turut tenggelam dan mungkin sekali anda juga bersalah kerana tidak mencegah apa yang dilakukan itu. Inilah masyarakat. Inilah yang sedang terjadi kepada masyarakat.

Bilamana pelaku kerosakan dan pembuat dosa dan maksiat bebas mengatakan yang urusan mereka adalah hak mereka sahaja, bahkan dengan lantang mengatakan, “Suka hati akulah. Kubur masing-masing. Aku tak susahkan orang lain”. Peminum arak, penzina, pelaku maksiat memang melakukan dosa itu sendiri tanpa mudharatkan orang lain secara zahirnya. Tetapi azab Allah tidak hanya tertimpa pada satu golongan manusia sahaja.

Mahukah nanti bilamana kita bertanya kepada Allah: “Ya Allah, kenapa aku diazab sedangkan aku tidak lakukan apa yang mereka lakukan??. Lalu Allah menjawab, “Apakah tanggungjawab mu yang telah Ku berikan ilmu dan hidayah sedangkan kau tak berani membetulkan kaum mu?”

Begitu juga dengan persahabatan. Apabila kita mengetahui bahawa ada antara kawan-kawan kita yang melakukan perkara-perkara yang tidak disenangi, apatah lagi ia melibatkan melanggar hukum Islam, kita sebagai kawan yang sedar akan hal ini perlu menegurnya. Membawanya kepada kebaikan. Jangan nanti kita di persoalkan oleh Allah di Akhirat kelak.

Sedarlah bahawa hidup bermasyarakat itu sangat penting. Bilamana ada nya kemungkaran dimata kita dan tidak kita berani untuk mencegah bahkan tidak terasa untuk membenci, akan sampai satu ketika kapal ummat ini akan terus lemas dalam kejahilan sehingga sampai ummat yang akan menggantikan kita dan memerangi kejahilan itu. Fikirkanlah, adakah kamu akan menjadi ummat yang tenggelam atau yang akan membetulkan kapal ini?

Peliharalah diri kita dan masyarakat di sekeliling kita daripada perkara-perkara yang di murkai ALLAH. Hiasilah persahabatan dengan saling tegur-menegur antara satu sama lain.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


 
Copyright SMSA Women 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .