Selamat menjalani ibadah puasa saya ucapkan kepada semua.Semoga ibadah puasa kali ini lebih baik daripada sebelumnya, sama-samalah kita untuk meraih peluang mendapatkan pahala yang lebih dan menyucikan jiwa pada bulan yang penuh berkat ini.
Di dalam hadis Nabi s.a.w telah menyatakan kelebihan bulan ini, Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila tibanya Ramadan maka terbukalah pintu-pintu syurga serta tertutuplah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan digari. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Sedikit perkongsian di petik dari artikel Utusan Malaysia mengenai huraian sebuah hadis mengenai 5 Keistimewaan Ramadhan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda: Diberikan kepada umatku lima kelebihan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu, (iaitu) mulut orang yang berpuasa lebih harum baunya di sisi Allah daripada bau kasturi, para Malaikat memohon keampunan untuk mereka sehingga mereka berbuka puasa, setiap hari pula Allah sentiasa menghiasi syurga dan berfirman: Sedikit masa lagi hamba-hamba-Ku yang soleh akan terlepas dari mereka beban dan kesakitan dan mereka akan menuju ke dalammu (syurga), para syaitan pula digari dan mereka tidak mampu melakukan apa yang boleh mereka lakukan pada waktu lain, kemudian mereka semua (orang berpuasa) akan diampunkan sehingga ke akhir malam. Ditanya kepada baginda s.a.w, “Wahai Rasulullah apakah ia malam Lailatulqadar? Jawab baginda, “Tidak, tetapi orang yang beramal akan diganjari jika laksanakan amalannya”. (riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya)
Berdasarkan hadis di atas antara keistimewaan yang diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah seperti berikut:
1. Mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT dari bau kasturi. Perkataan khuluf bermaksud perubahan bau mulut apabila perut kosong. Baunya memang busuk pada orang ramai tetapi ia di sisi Allah sangat harum kerana ia adalah hasil dari melaksanakan ibadah kepada Allah.
Setiap perkara yang terhasil dari ibadah kepada Allah, ia adalah sangat disukai-Nya. Seperti orang yang mati syahid, ia dikebumikan dengan kesan darah, kerana pada hari Kiamat kelak darah itu akan mengalir dan baunya harum sebagai bukti kesyahidannya mempertahankan agama Allah.
2. Para malaikat memohon keampunan untuk mereka hingga waktu berbuka puasa. Pastinya doa para malaikat akan diperkenankan Allah SWT kerana mereka tidak pernah berbuat maksiat malah mereka sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah.
Mereka diberi tugas mendoakan kaum muslimin dari kalangan umat ini yang sedang berpuasa sebagai tanda keistimewaan kedudukan umat Nabi Muhammad SAW.
3. Allah SWT menghiasi syurga-Nya setiap hari sebagai persiapan menyambut kehadiran orang yang berpuasa dan sebagai galakan agar mereka berusaha menambahkan amal ibadat di bulan ini.
Mereka juga akan dilepaskan daripada beban dan kesusahan di dunia seterusnya mudah melaksanakan segala macam ibadah.
4. Syaitan digari dengan rantai menyebabkan mereka tidak boleh mengganggu orang-orang yang soleh. Ini merupakan bantuan Allah kepada mereka di mana Ia mengurung musuh umat manusia yang mengajak mereka ke lembah neraka.
Justeru ketika datangnya Ramadan akan timbullah keinginan beribadat yang tinggi.
5. Allah mengampuni orang yang berpuasa pada setiap hujung malam di bulan ini sekiranya mereka bangun mengerjakan ibadah, bertaubat dan bermunajat kepada-Nya serta melaksanakan ibadah puasa di siang hari dengan penuh kekhusyukan.
Demikianlah ganjaran dan keistimewaan yang menanti mereka yang benar-benar menghayati amal ibadah di bulan Ramadan yang mulia ini. Mudah-mudah kita termasuk di kalangan golongan yang menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh kegembiraan.