RSS

Tuesday, 5 April 2011

BERBAHAGIALAH LAHIR SEBAGAI MUSLIMAT

BERBAHAGIALAH LAHIR SEBAGAI MUSLIMAT

Ada kaum wanita berkata,,, “susah menjadi wanita ISLAM”. Lihat saja peraturan dibawah ini :

1. Wanita auratnya lebih susah dijaga dibanding lelaki.

2. Wanita perlu meminta izin dari suaminya apabila mau keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.

3. Wanita saksinya kurang dibanding lelaki.

4. Wanita menerima pusaka atau warisan kurang dari lelaki.

5. Wanita harus menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.

6. Wanita wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya.

7. Talak ada di tangan suami dan bukan isteri.

8. Wanita kurang beribadah kerana masalah haid dan nifas yang tidak dialami lelaki.

PERNAHKAH KITA BERFIKIR SEBALIKNYA…??

Aurat serta perhiasan wanita adalah suatu yang sangat mahal dan berharga…

makanya..

Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiarkan terserak, bukan? Itulah bandingannya antara seorang muslimah dgnperemmpuan jalanan.

Satu:

Wanita perlu taat kepada suami, tetapi lelaki pun wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapaknya. Bukankah ibu adalah seorang wanita?

Dua:

Wanita menerima pusaka atau warisan kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya.

Manakala lelaki menerima pusaka atau warisan, ia akan menggunakan hartanya untuk isteri dan anak-anaknya.

Tiga:

Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala makhluk, malaikat, dan seluruh makhluk Allah di muka bumi ini, dan matinya jika saat melahirkan adalah syahid.

Empat:

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan mempertanggungjawabkan 4 wanita ini:

Isterinya, ibunya, anak perempuannya, dan saudara perempuannya.

Lima:

Seorang wanita pula, tanggung jawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki ini:

Suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara, lelakinya.

Enam:

Seorang wanita boleh memasuki pintu syurga melalui pintu manapun yang disukainya cukup dengan 4 syarat saja :

Solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat pada suaminya dan menjaga kehormatannya.

Tujuh:

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat pada suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH, ia akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang

fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

MasyaAllah…

demikian sayangnya Allah pada wanita, kan?

Bagaimana……? Masih merasa tidak adil?

masih tak nak jaga aurat??

Berbahagialah menjadi seorang Muslimah!!!

Sunday, 23 January 2011

WIR CAMPAIGN: Covering the chest is the best!

Menutup aurat secara sempurna. It's not easy. It's a process. But for the love of Islam and Allah, let us improve ourselves both spiritually and physically. For those who are wearing the hijab, let's do it right!

Apa kata kita mulakan dengan melabuhkan hijab, shawl, pashmina, scarf, tudung kita biar menutup dada. Hopefully I can commit to this. Sebab aku pon selalu je selempang tudung. It's not nicelah. Dada tu sebenarnya lebih menggiurkan dari rambut.

So do join this campaign! Spread it in your own blog, tumblr, etc. Kalau korang nak print buat fliers pon boleh gambar ni aku bagi kebenaran. Sangatlah dialu-alukan.

Oh by the way, WIR stands for Wear It Right. Hehe. So come on girls, let's do this. Covering the chest is the best!

{ANNA}

http://bududanbelacan.blogspot.com/2011/01/wir-campaign-covering-chest-is-best.html

Monday, 10 January 2011

SELOKA UNTUK WANITA



Tutup aurat adalah satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib ditekankan,
Kalau tidak ikut gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tidak perlu pun ‘make up’.

Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,
Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.

Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tidak berani mengorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.

Pakaian modern(?) memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakai pun nampak pusat.

Berseluar ketat baju pun ketat,
Jarangnya pula boleh dilihat,
Orang yang memakai terus dilakhnat,
Oleh Allah, Rasul dan Malaikat.

Apa yang cantik bila dipandang,
Lengan pendek tetapi bertudung,
Kelihatan seperti orang yang kudung,
Mata terpandang kaki tersandung

Amatlah aneh bila di fikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.

Bila ditanya kenapa begitu,
Dia menjawab: fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda lelaki sudahlah tentu.

Menutup aurat boleh berfesyen,
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilakhnat tiada guna sesen.

Kalau nak “Make Up” biarlah berpadan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi cuba elakkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia akan melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian si lelaki,
Perbuatan ini dibenci Ilahi.

Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang lelaki,
Melenggok punggung menggoda hati,
Ustaz melihat pun separuh mati.

Buat apa ditayangkan jambul,
Kecantikan tidak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tidak jadi bisol,
Memakai tudung Islam tersimbol.

Selokaku ini bukanlah berniat jahat,
Cuma ingin memperingat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali rakan sejawat.

Kalau ingin ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh, ubahlah diri,
Benda yang baik tidak perlu diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak bila wanita diperli,
Keluarga kita tidak terkecuali,
Terutama sekali anak dan isteri.

Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat sepanjang badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh teladan.

Setakat ini seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Yang baik bolehlah anda ikuti,
Kalau boleh besok anda mulai.


Thursday, 9 September 2010




بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Ramadhan melabuhkan tirainya. Selamat menyambut hari raya aidilfitri. Hari yang dinanti-nanti. Hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya kembali kepada fitrah setelah sebulan mendidik dan melatih rohani dan jasmani agar menjadi orang-orang yang bertakwa.

Sama-sama kita renung detik-detik hari yang berlalu dalam bulan Ramadhan bersama-sama dengan umat Islam yang lain.

Bersyukurlah kiranya kita berjaya mentarbiyah dan mendidik jiwa kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Yang pasti, ekspedisi tadarus Quran, tarawih berjemaah, majlis-majlis ilmu menjadi kenangan terindah dalam bulan Ramadhan ini. Semoga berterusan ketakwaan dan perhambaan kepada Allah SWT.

Beristighfarlah andai ruang masa kita di bulan Ramadhan ini diisi dengan perkara-perkara yang lalai, berbual perkara-perkara yang sia-sia, tidur panjang yang lena di siang hari hanya sekadar menunggu masa untuk berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Astaghfirullahal adzim. Kami memohon keampunan dariMU ya Allah.

Sahabat-sahabat sekalian,

Perjuangan menuntut ilmu di United Kingdom khususnya di Sheffield ini penuh dengan pelbagai cabaran. Sentiasa teringat pemandangan dan suasana tanah air dan senyuman ibunda dan ayahanda, sanak saudara, dan sahabat yang tercinta. Imam Syafie pernah berkata “ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita”. Di sebalik perkara ini, banyakkan bertakbir dan hayati ruh hari raya yang diajar oleh ajaran Islam.

Bulan Syawal juga mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam. Antaranya ialah kemenangan tentera Islam dalam perang Khandak(Ahzab). Peristiwa ini mudah diingati kerana setiap kali tiba hari raya, kita sentiasa laungkan Ahzab (Dan Dialah (Allah) yang memenangkan tentera-Nya serta mengalahkan tentera Ahzab).Perang Ahzab yang bererti tentera bersekutu, juga dikenali dengan nama Perang Khandak (parit) sempena saliran dibina tentera Islam sebagai kubu.


Perang Uhud yang berlaku pada pertengahan Syawal memberi tamparan hebat kepada umat Islam akibat kekalahan yang dialami. Kekalahan yang dialami adalah akibat melanggar perintah nabi selaku pemimpin serta terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya pertautan hati dengan Allah.

Banyak lagi peristiwa suka duka dalam sejarah Islam. Itulah yang sebenarnya yang menjadi sumber kekuatan kita. Maka, janganlah lemah andai menghadapi ujian hidup sebagai penuntut ilmu. Di luar sana ramai lagi yang menghadapi ujian yang lebih berat sebagai contoh yang terdekat sebagaimana saudara-saudara kita di Palestin. Cukuplah ia sebagai pengajaran kepada kita.

Maka, jadikanlah tarbiyah ramadhan sebagai pemangkin untuk kita mendapatkan kekuatan dan semangat untuk terus berjihad dalam konteks sebagai seorang mahasiswa. Raikan Syawal ini sebagaimana meraikan kemenangan dalam peperangan menentang kekufuran yang baru sahaja tamat. Lebih-lebih lagi kekufuran yang bersarang di lubuk hati kita.

Cukuplah sekadar itu sebagai renungan kepada kita yang bukan untuk termenung tetapi diamalkan. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Ramadhan yang kita tempuhi diterima Allah SWT sebagai bekalan kita di padang Mahsyar kelak. Sambutlah hari raya dengan menepati syariat Islam dengan penuh kebanggaan, keinsafan dan rasa syukur yang infiniti kepada Allah. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua.

Akhir kalam, jangan keterlaluan meratapi pemergian Ramadan hingga mencela kedatangan Syawal dan kegembiraan mensyukurinya. Jumpa lagi Ramadhan di tahun akan datang InsyaAllah.

Salam aidilfitri.

Salam perjuangan.

Wallahu a'lam.

Assalamualaikum wbt.

Muhammad Hilman Norman,

Islamic Affairs Officer

Sheffield Malaysian Student Association 2010/2011


Saturday, 28 August 2010

Brownies Best



Bahan-bahan ( 1 loyang sederhana )
• 1/2 cawan butter
• 1 cawan gula
• 2 biji telur
• 1 sudu teh esen vanila
• 1 sudu teh instant coffee
• 1/2 cawan serbuk koko
• 1/2 cawan tepung gandum
• 1/4 sudu teh garam
• 1/4 sudu teh baking powder
• 1 cawan coklat cip
• 1/2 cawan walnut cincang

• bahan untuk lapisan fudge:-
• 4 sudu besar butter (pada suhu bilik)
• 3 sudu besar serbuk koko
• 1 sudu besar madu
• 3/4 cawan gula aising (jun guna 1/2 cawan j)
• 1 sudu besar air suam


Cara-cara
1. cairkkan butter, angkat. masukkan gula, telur n esen.
2. masukkan koko, serbuk kopi instant, tepung,
garam, baking powder, coklat cip n walnut. kacau
rata, masukkan dalam loyang bergris.
3. bakar selama 25-30 min (do not overbake!)
4. campurkan semua bahan fudge, kacau sebati n
siram atas brownies semasa masih panas.

Tuesday, 24 August 2010

Bulan Al-Quran

Bulan al-Quran

Selasa, 24 Ogos 2010 12:13 Maznah Daud

Ramadan adalah satu-satunya bulan yang disebut namanya dalam al-Quran. Ia disebut sebagai bulan turunnya al-Quran. Allah tidak menyebutnya bulan puasa, pada hal puasa adalah ibadah utama yang diperintahkan ke atas umat Islam menunaikannya. Allah tidak menyebutnya bulan qiam, pada hal qiam sangat dituntut dalam bulan Ramadan. Tidak juga ia disebut bulan sedekah, pada hal umat digalakkan membanyakkan sedekah pada bulan Ramadan sehingga diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam sangat-sangat pemurah pada bulan Ramadan seumpama angin yang bertiup kencang.

Ramadan dinamakan bulan al-Quran.


“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah….”

(Maksud al-Baqarah 2:185)


Apakah peranan al-Quran dalam hidup kita?

Allah azzawajalla yang menurunkan al-Quran menjelaskan beberapa peranannya yang utama. Antaranya:


1. Supaya manusia mentadabbur ayat-ayat dan mengambil peringatan daripadanya.

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Maksud Sad 38:29)


2. Cahaya yang menerangi hidup insan di dunia ini.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) daripada Allah dan sebuah Kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.”

(Maksud al-Maidah 5:15)


3. Petunjuk kepada jalan yang lurus dan selamat.

“Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya dan (dengannya) Tuhan mengeluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Maksud al-Maidah 5:16)


4. Nasihat, rahmat serta penawar bagi semua penyakit.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

(Maksud Yunus 10:57)


“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

(Maksud al-Isra’ 17:82)


Apabila al-Quran berperanan...

Ketika mana al-Quran dibiarkan berperanan sebagaimana yang ditentukan oleh yang menurunkannya, akan terhasillah natijah yang luar biasa dan mengagumkan. Lihat bagaimana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah berjaya mendidik para sahabat radhiallahu anhum dengan al-Quran. Dalam masa tidak sampai seperempat kurun, lahir satu generasi yang unik yang berjaya merubah dunia ke arah kebaikan, keadilan dan kesejahteraan, pada hal mereka sebelumnya adalah bangsa yang buta huruf dan penggembala kambing di padang pasir yang gersang.


Dalam konteks ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali pernah berkata: “Kita mengetahui bahawa mukjizat Nabi sallallahu alaihi wasallam yang paling besar ialah al-Quran al-Karim. Di samping itu, ahli-ahli sejarah yang mengkaji dengan jujur melihat bahawa mukjizat paling besar selepas al-Quran ialah sekumpulan ‘rijal’ yang dididik oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam dengan sebaik-baiknya. Baginda telah menanamkan dalam hati mereka perasaan yakin dan ikhlas yang menjadikan mereka contoh yang benar-benar hidup dan bergerak. Peribadi mereka adalah gambaran iman yang tertanam dengan kejapnya dalam hati mereka. Mereka rela berjuang dan berkorban sehingga ke penghujung usia.


Sesungguhnya generasi yang telah dididik oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, yang merupakan pendukung kepada ajarannya, yang mengangkat panji-panji risalahnya dan yang setia kepadanya adalah jambatan yang menghubungkan hidayah daripada langit kepada kita. Sesungguhnya mereka adalah rijal yang sangat-sangat istimewa dan luar biasa. Ketika membaca sirah kebanyakan daripada mereka, saya rasa diri ini amat kerdil dan tidak berguna. Saya rasa seolah-olah berada di hadapan puncak gunung emas yang menjulang tinggi ke langit yang tidak mungkin dapat dicapai oleh tangan saya.”


Menurut Imam al-Banna, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berjaya mendidik mereka dengan menanamkan dalam diri mereka tiga perkara: Pertama, yakin bahawa apa yang ada pada mereka adalah satu-satunya yang hak, yang benar, yang baik, yang paling unggul kerana ia bersumberkan wahyu daripada yang Maha Benar. Kedua, oleh kerana mereka berpegang kepada yang benar maka mereka tidak harus berasa hina dan lemah, sebaliknya mereka mesti berasa mulia dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Mereka tidak harus menjadi pengikut dan pak turut, sebaliknya mereka mesti memimpin dan menyampaikan apa yang ada pada mereka kepada orang lain dengan penuh yakin. Dan ketiga, selagi mereka berpegang kepada kebenaran yang diturunkan Allah, maka Allah tidak akan menyia-yiakan mereka. Allah pasti akan menolong dan membantu mereka.


Kini sekali lagi kita berada dalam bulan al-Quran. Di serata pelosok bumi bergema bacaan ayat suci al-Quran siang dan malam. Akan lahirkah nanti generasi al-Quran sebagaimana yang telah dilahirkan oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam selepas Ramadan nanti? Bersama-samalah kita berusaha meningkatkan penghayatan al-Quran dan melaksanakan tuntutannya dalam hidup kita baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara.


Thanks & Regards
azimah







Thursday, 19 August 2010

Solat Seorang Penzina!




Solatku Tidak Mencegah Mungkar?

“ Sejahat-jahat aku pun aku semayang jugak

Seringkali juga saya mendengar ungkapan ini dari kawan-kawan. Juga sering terngiang di kepala pesanan seorang ustaz ketika masih menuntut di Kolej dahulu, jangan sesekali meninggalkan solat tidak kiralah apa sekalipun perbuatan kita. Bagaimana malas pun jangan sesekali meninggalkan solat.

Perkara solat sering kali ditekankan kepentingannya dalam ceramah-ceramah , penulisan dan sebagainya kerana msyarakat islam menyedari penekanan yang diberikan oleh agama terhadap solat.

Beberapa bulan yang lepas saat berkunjung ke Kuala Lumpur, jatung saya tersentap mendengar cerita seorang sahabat yang menceritakan kepada saya akan perilakunya dalam keadaan senyum dan gembira. Dia memang dikenali sebagai seorang yang bersosial, suka pergi ke club, melakukan seks bebas dan macam-macam lagi. Namun, sepermerhatian saya sejak mengenalinya, solat tidak pernah ditinggalkannya. Tiap kali waktu solat dia sering mengingatkan kawan-kawan lain bahawa solat telah masuk waktunya. Saya sendiri sangat kagum kepadanya, disebalik kemungkaran yang meliputi batang tubuhnya, namun jika bab solat tidak pernah dikomprominya.

Dia memang kerap bertukar-tukar pasangan, bukan pasangan untuk ‘bercouple’ seperti remaja biasa, tetapi pasangan seks bebas memenuhi tuntutan hawa nafsu rakusnya. Pada hari itu dia bercerita panjang dengan saya,

Aku pernah jumpa perempuan nih, tapi dia cakap dia nih jenis yang tak beragama sangat walaupun islam. Aku tak suka laa perempuan macam tuh. So aku tinggalkan jer laa perempuan tuh “..Katanya kepada saya menceritakan tentang seorang gadis yang tidak mempedulikan soal-soal tuntutan agama.

Saat seronok berborak dengannya, dia menceritakan pula tentang keseronokkannya berkenalan dengan seorang gadis secara rambang dan akhirnya mereka terpikat dan terjatuh ke lembah hina yang gelap. Mereka hanya berkenalan di kelab malam dan sudah dibawa pulang tidur diatas katil.

Aku suka perempuan nih sebab lepas kitaorang buat ‘kerja’, pagi tuh dia siap kejut aku bangun subuh. Sweet tak dia. Dia jenis yang hormat aku nih jenis jaga solat”..Katanya kepadaku sambil senyum meleret dibibir tanpa ada sebarang rasa penyesalan yang terdetik dihatinya.

Hatiku terasa panas dan tersentap sungguh mendengar ucapan itu. Entah dimana silapnya. Dia kemudian menyambung lagi.

Aku cakap kat dia, bulan puasa nanti kita tak leh buat ‘projek’ sebab aku kena puasa time bulan Ramadhan “. Ucapnya selamba.

Berpinar mata dan kepalaku saat mendengar ungkapannya. Sungguh aku hanya mampu berdoa agar Allah mengampuni dosa aku dan dia, dan memberikan hidayah kepada kamu berdua untuk berubah.

Kutanya padanya,

Tidak takutkah jika perempuan itu mengandung? Buang anak makin menjadi-jadi lewat belakang ini

Dijawabnya dengan ringkas, “ Safe Sex ” sambil tersenyum dan mata melirik bangga.

Dalam hatiku berkata sendirian, sedarlah kawanku, tiada hubungan kelamin yang selamat melainkan hanya setelah pernikahan. “Safe Sex” dalam banyanganmu hanya mengundang amarah Tuhan Pencipta Alam. “Safe Sex” itu hanya membawa bakaran api neraka yang gelap dan marak, tidak mampu dibayangkan keperitan dan kesakitannya.

Ku tanya lagi,

” Bila nak kawen? Baik ko kawen dari buat benda-benda x baik camni.

Dia membalas, “Kawen??” Dengan nada terkejut seperti pertama kali mendengarkan perkataan itu. Harapanku agar dia mendalami maksud disebalik perkataan itu dan cuba memahami nilaiannya.

Jika anda amati bait-bait kisah diatas, pasti anda sedar, bahawa sahabat saya adalah seorang yang menjaga solat dan puasanya, namun kehidupannya tidak mencerminkan nilaian solat dan puasanya. Entah dimana silapnya. Aku sendiri tidak pasti. Puas aku memikirkannya. Sungguh syaitan telah memperdayakannya. Mengaburkan matanya dengan perkataan ‘solat’. Sehingga wanita penzina mengejutkannya untuk solat subuh, dirasakan sebagai sebuah cinta tiada taranya. Sedangkan itulah perangkap cinta syaitan yang menjerat kelemahannya dengan perkataan ‘solat’. Mencari wanita penzina yang menghormati ‘solat’nya. Sungguh aku bingung memikirkannya.

Ku selak kembali ayat Al-Quran,

“Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut: 45).

Aku pasti sudah seringkali kita mendengar ayat ini dibacakan. Namun persoalannya mengapakah solat kita tidak mencegah mungkar? Mengapa orang yang bersolat 5 kali sehari dan berpuasa di bulan Ramadhan terjatuh ke lembah zina. Bahkan lebih teruk, pembuangan bayi kian berleluasa. Masyrakat jahiliyah yang jahil dulu menanam anak didalam tanah, ‘memulangkan’ manusia yang diciptakan dari tanah, namun, sedihnya, masyarakat Malaysia membuang bayi ke dalam tangki najis, ‘memulangkan’ manusia ke lubang najis, adakah manusia tercipta dari najis?

Berkali-kali kita mendengar tentang bentuk solat yang mencegah mungkar itu adalah solat yang khusyu’. Namun persoalannya, untuk kita yang masih belum mencapai tahap kekhusyukan para nabi, sahabat, tabi’in dan para solihin, apakah solat itu langsung tiada nilainya kepada diri kita walaupun 5 kali sehari tonggang terbalik menunaikan kewajipan solat? Maka, adakah dengan alasan solat kita masih belum khusyu’ dan sempurna kita bebas melakukan maksiat kepada Allah walaupun kita bersolat?

Ku cuba ingat kembali huraian dan ulasan seorang ustaz di Radio IKIM.fm berkenaan solat yang mencegah mungkar. Aku sungguh sukakan ulasan ustaz kerana ianya lebih berbentuk praktikal. Huraiannya berbeza dengan apa yang sering kudengar. Ustaz membincangkan tetang bagaimana solat itu mencegah dari kita melalukan kemungkaran adalah, dengan kita sentiasa mengingati bahawa kita adalah golongan yang solat.

Saya ulang dirangkap baru, Dengan Mengingati Bahawa Kita Adalah Golongan Yang Solat.

Dengan sentiasa ingat bahawa kita ini golongan yang solat, maka tiap kali kita hendak melakukan maksiat maka berpesanlah kepada diri kita, bahawa aku ini tergolong dalam orang-orang yang bersolat, Maka apakah selayaknya aku melakukan maksiat kepada Allah. Apakah solatku tiada nilaian langsung sehingga aku terheret untuk melakukan maksiat.

Konsep mengingati bahawa kita golongan yang bersolat ini sama sepertimana kita berpuasa. Apabila kita berpuasa, kita sedaya upaya mencegah diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa sehingga terbenam matahari. Kelaparan mengingatkan kita bahawa kita adalah golongan yang berpuasa. Seperti kisah sahabat saya tadi, sedari awal memberi pesanan kepada teman wanitanya bahawa mereka tidak boleh melakukan seks pada bulan Ramadhan kerana dia berpuasa. Itulah bentuk peringatan yang diberikan kepada diri sendiri, ‘bahawa aku sedang berpuasa, tidak boleh melakukan seks di siang hari’

Begitu jugalah solat. Solat itu 5 waktu sehari. Kita hanya melihat solat itu hanya pada waktunya. Selepas kita solat, maka kita sudah tidak berada dalam ‘waktu’ solat itu. Sedangkan waktu-waktu solat berturutan antara satu sama lain, makanya, solat tiada ‘waktu berbuka’ sepertimana puasa mempunyai waktu untuk berbuka. Sebenarnya kita sentiasa berada dalam waktu dan keadaan solat. Maka, lebih mudah untuk kita mengingatkan diri bahawa aku ini dari golongan yang bersolat yang mana sentiasa mengingatkan kita untuk mencegah kita dari kemungkaran. Ingatlah diantara dua waktu solat itu, bahawa kita adalah golongan bersolat, apakah layak untuk kita yang baru sahaja bersolat sebentar tadi untuk melakukan maksiat, yang mana kemudiannya di waktu solat seterusnya kita akan kembali menemui Allah, adakah dalam keadaan pernuh maksiat itu?

Maka tiap kali kita ingin melakukan maksiat kepada Allah, maka ingatlah bahwa kita dari golongan yang bersolat, dan solat itu nilaianya tinggi untuk mencegah kemungkaran. Ia akan menjadi motivasi untuk kita berusaha sedaya upaya meninggalkan maksiat. Ia akan menjadi khabar gembira kepada diri kita dengan sentiasa mengingatkan bahawa diri ini adalah tergolong dalam golongan yang bersolat.

Namun, tidak pernah dinafikan, bahawa kesempurnaan solat itulah yang sebenarnya mencegah kita dari kemungkaran. Kekhusyukan solat kita kan menghindarkan diri dari kemaksiatan. Maka, kita harus sentiasa berusaha meningkatkan kualiti solat dan berusaha dari masa ke semasa untuk menyempurnakan solat dan kekhusukan kita.

Sesungguhnya “Pencegahan itu datangnya dari Allah”, yang mana hati kita diibaratkan berada di dua jari Allah yang mampu dibolak balik kan dengan mudah mengikut kehendak-Nya. Maka sentiasalah berdoa diberi ketetapan hati dan iman.

Bukanlah diri ini untuk menghukum seorang penzina atas kemaksiatannya, kerana saya jugak seorang hamba yang bakal dihakimi Allah, hak menghukum hanya milik Allah. Namun, mengambil pengajaran atas apa yang berlaku sebagai peringatan kepada kita yang sentiasa berfikir. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan suruhannya, dan meninggalkan larangannya.


sumber dari:-http://www.ataphijau.com/2010/08/17/solat-seorang-penzina/

 
Copyright SMSA Women 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .